suria

Zachary Anderson Tidak Rela Jadi Penonton

PERTAHANAN import Kedah Zachary Anderson mengakui tidak rela lagi menjadi penonton pada final Piala FA di Stadium Shah Alam pada Sabtu selepas terlepas aksi separuh akhir sebelum ini.

Pemain kelahiran Australia itu diketepikan dalam tiga perlawanan sebelum ini selepas mengalami kecederaan tulang pinggul.

Menurutnya, sepanjang tempoh rehat dia telah melakukan pemulihan sebaik mungkin untuk kembali bersama rakan-rakan perlawanan bertemu Pahang.

"Ini perlawanan penting untuk Kedah dan saya sendiri, selepas menjalani latihan petang Jumaat, saya harap dapat membantu rakan-rakan malam ini.

"Saya yakin dapat melakukan yang terbaik untuk pastikan kita dapat membawa pulang piala jika disenaraikan dalam kesebelasan malam ini.

"Apa pun saya serahkan kepada keputusan barisan kejurulatihan untuk menentukan kesebelasan terbaik untuk menentang Pahang yang juga sebuah pasukan hebat," katanya kepada mStar Online selepas sesi latihan di Petaling Jaya.

Zachary memberitahu, final kali ini penting bagi dirinya yang sedang melalui tempoh terbaik sepanjang karier sebagai pemain bola sepak profesional.

Jelasnya, berikutan itu dia tidak boleh membuang masa dan perlu merasai perlawanan akhir di hadapan hampir 80,000 penonton daripada kedua-dua pasukan.

"Jika tidak dapat beraksi hari ini, saya yakin rakan-rakan lain dapat memberikan yang terbaik berdasarkan pengalaman yang mereka miliki selain taktikal Mohd Nidzam Adzha Yusof.

"Kita sedar perlawanan ini bukan mudah untuk diharungi tetapi untuk memastikan kita tidak tewas, semua pemain termasuk saya perlu berjuang habis-habisan," tegasnya.

Zachary Anderson, Kedah

Artikel Sebelum

Thiem Singkir Nadal

Artikel Berikut

Artikel Lain