KEJAYAAN Antonio Conte mengemudi Chelsea merangkul trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim pertamanya sebagai pengurus menyaksikan beliau dipilih sebagai pengurus terbaik tahunan oleh Persatuan Pengurus Liga (LMA), awal pagi Selasa. Pengendali berusia 47 tahun turut berpeluang meraih kejayaan berganda buat Chelsea jika mengalahkan Arsenal dalam saingan final Piala FA, Sabtu ini. Conte, bekas pemain tengah Juventus dan Itali, berjaya menjulang skuad juara musim 2015 ini daripada kedudukan di tangga ke-10 liga pada kempen 2016-2017 kepada skuad bergelar juara dalam tempoh begitu singkat. Chelsea meraih gelaran liga dengan rekod 30 kemenangan di bawah kendalian Conte, termasuk 13 kali menang berturut-turut sejak 1 Oktober lalu. Anak buah Conte itu menutup tirai musim ini dengan mendahului Tottenham yang menduduki tangga kedua dengan tujuh mata. Sementara itu, Pengurus Brighton Chris Hughton dinama sebagai Pengurus Terbaik Liga Kejuaraan selepas membantu kelab tersebut mara ke pentas Liga Perdana Inggeris buat pertama kalinya. Pengurus Sheffield United, Chris Wilder pula memenangi trofi Pengurus Terbaik Liga Divisyen Satu.