REAL Madrid mengesahkan perjanjian yang telah dipersetujui dengan kelab Brazil, Flamengo, untuk mendapatkan pemain berusia 16 tahun, Vinicius Junior dalam perjanjian yang menyaksikan klausa pelepasan €45 juta dibayar sepenuhnya. Pemain muda berbakat ini menjadi terkenal pada Mac 2017 ketika membantu Brazil memenangi Kejohanan Amerika Selatan B-17, menjaringkan tujuh gol dan dinamakan sebagai pemain terbaik kejohanan. Pada Mei dia membuat penampilan pertama untuk pasukan senior Flamingo sebelum menandatangani kontrak baharu ini. Pemain ini disebut-sebut akan menjadi 'The Next Neymar', kerana didakwa memiliki gaya permainan yang serupa dengan pemain dari Brazil, Neymar. Kenyataan Real menyebut bahawa mereka telah bersetuju untuk memperoleh hak-haknya dari Julai 2018, apabila pemain itu berusia 18 tahun dan dia akan kekal bersama Flamengo sehingga Julai 2019. Bagaimanapun, jika kedua-dua pihak bersetuju, dia boleh berpindah ke Real antara dua tarikh itu secara pinjaman. Flamengo kemudian mengeluarkan maklumat yang mengesahkan klausa pelepasan penuh telah dipenuhi.