PETALING JAYA: Pasukan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) berada di landasan tepat bagi mengharungi beberapa kejohanan besar tahun ini. Pengarah Kanan PPBN, Safirul Azli Abu Bakar memberitahu, jadual skuad Bawah 15 Tahun (B-15) dan 14 Tahun (B-14) agak padat dengan beberapa kejohanan serta perlawanan persahabatan di luar negara. "Secara keseluruhannya skuad kita berada di tahap yang memuaskan di peringkat Asean berdasarkan prestasi semasa pemain-pemain. "Bukan tidak risau dengan pasukan-pasukan Asean lain, tetapi kami tahu kemampuan mereka. Sebagai contoh, pasukan remaja Thailand juga kuat, tetapi kita masih yakin bersaing dengan mereka. "Cuma kami masih belum pasti tahap kemampuan pemain berdepan dengan pasukan-pasukan negara Asia," jelasnya kepada mStar Online. Foto kredit: NFDP Menurut Safirul, bagi memantapkan aksi pemain ketika berdepan dengan pasukan-pasukan negara Asia nanti, PPBN merancang untuk menghantar skuadnya ke Qatar. "Sebelum aksi Piala AFF B-14 (Thailand) Julai ini, skuad negara dijangka akan singgah ke Qatar terlebih dahulu bagi menyertai beberapa kejohanan persahatan. "Kita belum pernah bermain dengan pasukan negara Timur Tengah memandangkan pemain-pemain mereka bermain untuk kelab masing-masing. "Kalau kita dapat bermain dengan pasukan benua lain, barulah kita boleh tahu sejauh mana tahap kemampuan skuad negara di peringkat Asia. "Dan di sini jugalah kita boleh tahu sama ada peluang kita cerah atau tidak untuk bermain pada aksi Piala Dunia," tambahnya. Dalam pada itu, Safirul memberitahun skuad B-15 yang dalam persiapan aksi Kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 16 Tahun pada September ini "Baru-baru ini mereka ke Itali menyertai Kejohanan Jemputan Torneo Delle Nazzioni. Saya masih belum menerima laporan penuh lagi. "Tetapi apa yang saya lihat tahap persaingan telah diterjemahkan dalam prestasi pemain-pemain. "Dan persediaan mereka bukan setakat itu sahaja kerana awal bulan depan skuad bimbingan Lim Teong Kim akan terbang ke Perancis kerana menerima jemputan untuk berlatih bersama sebuah kelab di sana," ujarnya. Dalam pada itu, Safirul turut memberitahu beberapa pemain PPBN pernah ditanya oleh beberapa ejen pemain luar negara. "Ketika ke Jelajah Eropah sebelum ini, ada juga mereka (ejen) bertanyakan mengenai pemain muda kita. Cuma tidak ada yang rasmi sahaja". Sebagai rekod, aksi Kelayakan B-16 Tahun yang berlangsung pada 16 September hingga 24 September 2017 ini bakal menyaksikan empat pasukan terakhir layak secara automatik ke Piala Dunia B-17 2019.