suria

Vingada Nafi Terlibat Bookie

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berjabat tangan dengan Vingada. foto Facebook FAM

KUALA LUMPUR: Walaupun baharu sahaja tiba di ibu negara, jurulatih baharu Harimau Malaya, Nelo Vingada terpalit dengan cerita kurang enak sepanjang 35 tahun bergelar pengurus dan jurulatih.

Menerusi pendedahan media antarabangsa, Asia Times pada 11 Mei lalu, Vingada dikaitkan dengan sindiket mengatur perlawanan (bookie) yang turut disahkan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Namun, Vingada menerusi sidang media memperkenal beliau kepada pemberita di sini petang Rabu, tampil menafikan dirinya terlibat dalam sindiket bookie membabitkan kelab Atletico CP di Liga Portugal.

"Saya ingin jelaskan bahawa saya tidak mempunyai kaitan dengan Eric Mao (ejen), perkara itu tidak perlu diragui.

"Anda boleh baca di mana mengenai saya tetapi apa yang pasti, saya amat berbangga dalam apa yang saya lakukan, bukan sahaja sebagai ketua jurulatih, ketua keluarga dan juga kehidupan peribadi saya.

"Dan sudah pasti anda dapat melihat seorang lelaki yang hebat di hadapan anda, ia tidak dapat dinafikan," katanya.

Dalam laporan Asia Times, bookie yang paling dikehendaki Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Mao Xiaodong mendedahkan Vingada pernah berurusan secara langsung dengan sindiket itu untuk mempengaruhi keputusan perlawanan membabitkan kelab Atletico CP di Liga Portugal.

"Mao mendedahkan kepada media Portugal bahawa bekas pengurus Atletico CP, Nelo Vingada pernah berurusan dengan Mao.

"Mao berhasrat untuk membeli kelab berkenaan dengan Vingada dijanjikan kerusi selaku Presiden kelab sekiranya berjaya membantu Mao.

"Beberapa bulan kemudian, UEFA tampil mendedahkan wujud kesangsian terhadap kelab Atletico yang dipercayai terbabit dalam gejala mengatur perlawanan," menurut laporan tersebut.

Susulan itu, polis Portugal dan Interpol menjalankan siasatan dan didapati kelab berkenaan sememangnya terbabit dengan masalah rasuah bola sepak.

Nelo Vingada, FAM, Harimau Malaya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain