PEMAIN AS Roma menerima kejutan apabila seorang wanita bergaun pengantin muncul ketika mereka sedang berlatih di gimnasium pagi Jumaat. Wanita berkenaan, Zhou Rongrong hadir di Trigoria bersama delegasi penyokong yang telah diterbangkan dari China untuk menyaksikan sesi latihan pasukan AS Roma. Dia bagaimanapun senyap-senyap menyelinap ke tandas dan kemudian muncul memakai gaun perkahwinan. Dia memegang bingkai gambar yang tertulis: "Saya pernah mahu berkahwin dengan Totti ketika saya berusia 12 tahun. "Saya datang dari Chongqing di China dan saya mula mengikuti Totti dan Roma dari umur 12 tahun," Zhou memberitahu asroma.com. "Seseorang pernah berkata kepada saya, setiap ibu di Rom mahu anak perempuan mereka berkahwin dengan Totti. Jadi saya mahu melakukan perkara yang sama dan hari ini saya datang ke sini untuk menyatakan cinta saya untuk Francesco!" Apabila pemain AS Roma melihat dia menyaksikan mereka berlatih dengan memakai gaun pengantin dari luar, mereka mula bersorak dan pengurus AS Roma Luciano Spalletti segera menjemputnya masuk ke gimnasium untuk bertemu pemain. Ketika itu seluruh pemain terkejut, termasuklah Radja Nainggolan yang kelihatan bingung tetapi tersenyum-senyum dengan apa yang berlaku.