PETALING JAYA: Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) tidak membenarkan Pasukan Bola Sepak Kelantan (Kafa) melakukan perpindahan pemain import baharu sempena jendela perpindahan Liga Malaysia. Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, pihaknya hanya menerima satu surat permohonan daripada Kafa untuk seorang pemain luar negara sahaja yang ingin didaftarkan. “Kami tidak menerima surat permohonan pendaftaran untuk dua pemain luar negara dan jika ada, ia tidak boleh diluluskan. “Ini kerana Kafa masih menghadapi sekatan perpindahan kerana isu-isu yang dihadapi Kafa berhubung pembayaran perkara-perkara wajib masih belum diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. Kevin berkata, sewaktu sekatan tersebut berkuatkuasa, sebarang perpindahan perlu mendapat kelulusan pihak pengurusan liga dan jika ia tidak membawa impak yang positif kepada kedudukan kewangan pasukan atau tidak meletakkan pasukan itu dalam menangani hutang sedia ada maka perpindahan tidak dapat diluluskan. “FMLLP berharap hasil dari perpindahan yang telah diluluskan tempoh hari dapat digunakan unutk menyelesaikan masalah sedia ada dan sekatan perpindahan tidak lagi perlu dikuatkuasakan. “Jika ini berlaku ia akan dilihat sebagai satu langkah yang positif untuk Kafa dan Liga Malaysia secara keseluruhan,” katanya. Tindakan Kafa yang terus menandatangani pemain import baharu biarpun masih belum menyelesaikan tunggakan gaji pemain lama mencetuskan krisis berterusan terhadap pasukan pantai Timur itu. Kafa sudah berdepan hukuman pemotongan enam mata kerana berdepan isu sama sebelum ini dilaporkan menandatangani dua pemain import baharu, iaitu Abou Bakr El Mel dan Seydi L Imam pada minggu ini. Ia dilakukan selepas mereka melepaskan penyerang sensasi Lubnan, Mohammed Ghaddar ke Johor Darul Ta'zim (JDT) selain menggugurkan Alessandro Celin.