SENARAI pasukan yang akan bersaing dalam Liga Perdana Inggeris musim depan telah lengkap dengan Huddersfield menjadi kelab terakhir mengisi senarai. Huddersfield layak selepas mengalahkan Reading pada aksi final play-off, awal pagi Selasa. Kelab dengan gelaran The Terriers itu menang 4-3 menerusi penentuan penalti dalam perlawanan di Stadium Wembley. Perlawanan antara Huddersfield dan Reading terpaksa diakhiri dengan tendangan penalti setelah kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol selepas 120 minit permainan. Dalam drama penalti ini, Chris Schindler menjadi penentu kemenangan Huddersfield, bersama penjaga gawangnya, Danny Ward, yang berjaya menyelamatkan tendangan Jordan Obita. Musim depan akan menjadi kali pertama Huddersfield tampil di Liga Perdana Inggeris. Kali terakhir kelab ini bersaing di kasta teratas Liga Inggeris adalah pada tahun 1972 atau 45 tahun lalu. Huddersfield menjadi pasukan ketiga yang dipromosi ke Liga Perdana, mengikut jejak Brighton & Hove Albion dan Newcastle United yang layak secara automatik setelah menduduki dua tempat teratas saingan Kejuaraan. "Perasaan saya sangat tersentuh. Saya sudah menyokong kelab ini sejak 1969, sekarang menjadi pasukan Liga Perdana, ini mimpi yang jadi kenyataan," kata Pengerusi Huddersfield, Dean Hoyle, kepada Sky Sports. "Ini sangat bermakna untuk Huddersfield, kami sekarang berada di arena yang besar," kata Hoyle.