ROMELU Lukaku telah memberitahu penasihatnya bahawa dia mahu kembali ke Chelsea musim panas ini. Pemain antarabangsa Belgium ini berazam meninggalkan Everton, dengan Manchester United juga dikatakan mahu mendapatkan khidmatnya. Tetapi Lukaku telah memberitahu ejen Mino Raiola keutamaannya adalah untuk kembali ke Chelsea, kelab yang ditinggalkannya pada 2014 dengan £28 juta. "Kekal di Everton bukan lagi satu pilihan untuk musim depan. Saya tetap tenang," kata Lukaku, 24. "Tiada apa yang kukuh berhubung kelab pada masa ini, ejen saya sibuk berbincang. "Saya tidak akan membuat pengumuman besar tentang masa depan saya, tetapi saya tahu di mana saya mahu bermain: di sebuah kelab yang berjuang dalam Liga Juara-Juara dan boleh memenangi gelaran di England. "Kami kini dalam perbincangan dengan kelab dan saya tidak sabar. Ejen saya tahu apa yang bakal berlaku dan saya juga tahu. Beberapa perkara masih dilakukan sebelum Lukaku menyatakan hasrat dirinya. Penghalang kini adalah harga £100 juta yang ditetapkan Everton, yang akan menjadi bayaran rekod dunia. "Saya tetap tenang dan kami juga mempunyai perjanjian dengan kelab,' katanya. "Saya hanya akan berehat selama beberapa hari dan kemudian bersedia untuk musim akan datang. "Saya mahu cuti saya dapat membawa segala-galanya ke satu tahap lain dan menjadi lebih baik dari tahun lepas. Kami bertenang dan sekurang-kurangnya kami mempunyai arah di mana kami mahu pergi," katanya.