PETALING JAYA: Jika sebelum ini pemain Kelantan terpaksa menunggu dalam penuh debar gaji bulanan mereka, kini mereka boleh menarik nafas lega. Ada perkhabaran baik apabila semua pemain bakal mendapat 'durian runtuh' sempena sambutan Aidilfitri kali ini. Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata beberapa penaja sepakat untuk melunaskan gaji skuad sedia ada bagi bulan Jun lebih awal supaya pemain dapat bergembira menyambut Hari Raya. Malah, kata Annuar, gaji bulan Mei turut akan dijelaskan serentak pada 20 Jun ini dengan semua pemain akan berbuka puasa bersama di Seri Puri Bukit Marak. "Ini bererti tiada tunggakan gaji baki skuad 2017!," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. Dalam pada itu, Annuar berkata beberapa penaja pasukan itu turut berusaha membantu Kafa untuk melunaskan tunggakan bagi musim 2015/2016. "Kebanyakannya bukan tunggakan gaji tetapi pampasan atau penyelesaian penamatan lebih awal kontrak bermain. Namun, beliau berkata Kafa ternyata belum mempunyai wang untuk menjelaskan tunggakan tersebut dan mereka yang terlibat perlu menunggu lebih lama lagi. Justeru, Annuar berkata beberapa penaja secara sukarela akan menawarkan satu pelan penyelesaian kepada semua pemain import dan juga tempatan yang tunggakan mereka masih belum dilunaskan Kafa. "Mana-mana pemain atau pegawai yang sanggup selesaikan tuntutan dengan memberi Kafa diskaun 50%, kita akan bayar bagi pihak Kafa baki hutang mereka secara tunai dalam tempoh 30 hari mereka beri persetujuan hitam putih," katanya. Namun, bagi mereka yang tidak bersetuju, Annuar berkata tiada sebarang paksaan dan mereka perlu menunggu seperti biasa sehingga Kafa ada keupayaan untuk melunaskan tunggakan tersebut. "Mereka boleh pilih yang mana satu. Kami cuma cuba bantu kedua-dua pihak tanpa prejudis," katanya. Jelas Annuar, Kafa akan melantik sebuah firma guaman sebagai pihak berkepentingan yang akan menulis surat dan menghantar tawaran ini kepada semua yang terlibat. "Tawaran ini dibuat secara sukarela oleh sekumpulan penaja demi membantu mempercepatkan penyelesaian hutang," katanya.