PETALING JAYA: Bagi memastikan baki saingan musim ini dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengutip mata paling maksimum, pengendali Selangor kini mahu mempraktik ramuan terbaharu untuk skuadnya. Sebelum ini, P.Maniam lebih selesa menggunakan sistem formasi 3-4-3 yang menyaksikan Selangor sekadar menghuni di tangga kelima Liga Super musim ini selepas 13 perlawanan. Tidak mahu selesa dengan strategi yang sama, Maniam mengambil alternatif untuk mempelbagaikan corak permainan skuad Gergasi Merah bagi menghadapi baki saingan Liga Super. "Kita ada lebih kurang 20 hari untuk latihan dan perlawanan persahabatan pada bulan Ramadan ini. Dalam tempoh tiga minggu ini, saya rasa pemain perlu fokus lebih dalam aspek kecergasan dan pada masa sama kita akan menggunakan sistem 4-2-3-1. "Dengan dua sistem ini, para pemain dapat mempersiapkan diri mereka lebih baik menjelang baki perlawanan Liga Super serta Piala Malaysia selepas Hari Raya nanti," ujarnya dalam satu kenyataan di laman rasmi Persatuan Bola Sepak Selangor. Bagaimanapun tambah Maniam, formula baharu ini tidak dapat dikongsi bersama dengan lima pemainnya yang kini berada dalam skuad kebangsaan. "Ada sedikit kebimbangan untuk lima pemain ini dalam memahami sistem baharu kerana mereka tidak bersama kita sekarang. "Tetapi saya fikir pemain berpengalaman seperti Khairulazhan Khalid, Amri Yahyah tidak ada masalah untuk fahaminya, cuma Syahmi Safari, K.Kannan dan Adam Nor Azlin perlu diberi lebih penerangan kelak". Selain itu, seperti pasukan-pasukan lain, Selangor juga dijangka berdepan dengan jadual padat bermula Julai ini dengan aksi Liga Super dan Piala Malaysia dengan keseluruhannya sembilan perlawanan dalam tempoh sebulan.