PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengumumkan telah mengikat kontrak dengan pemain kelahiran Sepanyol, Rufino Segovia del Burgo (gambar) bagi menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia 2017. Kehadiran pemain berkenaan akan menggantikan pemain import dari Brazil, Juliano Mineiro yang mempunyai masalah kecergasan. Rufino, 32, yang menjadi pilihan ketua jurulatih, P Maniam bakal menyertai Ugo Ukah, Adik Vermanshah dan Francis Forkey Doe untuk melengkapkan kuota pemain import skuad Merah Kuning musim ini. Kontrak berjaya dimeterai di hadapan Setiausaha Agung FAS, Rosman Mohd Ibrahim selepas urusan berkaitan pemeriksaan kesihatan dan dokumen pendaftaran pemain kelahiran Madrid itu dimuktamadkan. Memetik laporan laman web rasmi FAS, Rufino pernah beraksi bersama Rayo Vallecano dan Atletico Madrid di divisyen utama Sepanyol sebelum mengembangkan sayap ke beberapa kelab di Eropah. Kelab terakhir yang disertai oleh pemain yang memiliki ketinggian 1.76 meter itu ialah Kitchee dari Hong Kong dan Rufino beraksi selama dua musim dengan kelab itu sejak Januari 2016.