PETALING JAYA: Kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) akur dengan keputusan Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) yang mengenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan dan denda sebanyak AS$40,000 (RM170, 626) terhadap penjaga golnya, Farizal Marlias. Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards berkata, mereka menghormati dan akan mematuhi keputusan yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib AFC. Malah, katanya JDT juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada AFC dalam siasatan kes itu. "Ini harus dijadikan sebagai pengajaran kepada setiap pemain untuk sentiasa mematuhi undang-undang permainan dan bersikap professional. "Sebagai sebuah kelab, kami berharap dan akan memastikan perkara ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. Dengan penggantungan itu, Farizal tidak dibenarkan terlibat dalam semua kejohanan bola sepak yang dianjurkan di seluruh Asia meliputi dalam dan luar negara, sama ada perlawanan persahabatan, tidak rasmi atau rasmi. Pada kejadian tersebut, Farizal diusir oleh pengadil ekoran tindakannya menolak dada pengadil berkenaan yang jelas merupakan satu tindakan salah laku. Selepas diusir, penjaga gol JDT itu turut membuat perkara yang sama terhadap pembantu kedua pengadil, menggunakan bahunya untuk menolak pembantu utama pengadil dan menggunakan tangan untuk menolak pegawai keempat ketika keluar dari padang. Semua perbuatan penjaga gol tersebut menjadikan situasi perlawanan tegang. Sementara itu, jurulatih JDT, Mora Mendivil turut dikenakan denda sebanyak AS$7,000 (RM29,843) kerana mengeluarkan kata-kata penghinaan terhadap kakitangan dan pegawai AFC selepas tamat perlawanan.