RAFAEL Nadal meluahkan ucapan penghargaan kepada pakcik dan jurulatihnya, Toni Nadal selepas melebarkan rekod kesepuluh menjuarai Terbuka Perancis awal pagi Isnin. "Terima kasih kepada pakcik saya yang telah bersama sejak berusia tiga tahun. Kami telah bekerja keras dan tanpanya saya tidak akan meraih trofi kejuaraan yang kesepuluh ini," ujar Nadal selepas perlawanan. Toni merancang untuk mengundur diri daripada melatih anak buahnya penghujung musim ini. Tambah Nadal,31, Terbuka Perancis merupakan satu kejohanan yang amat istimewa buat dirinya. Sejak penampilan pertamanya pada tahun 2005, Nadal hanya tewas dua perlawanan di gelanggang tanah liat itu sekaligus mencatat kemenangan ke-79 keseluruhan. Nadal menyingkir pemain Switzerland, Stan Wawrinka 6-2 6-3 6-1 pada akhir final di Roland Garros ini. "Seperti biasa saya akan cuba melakukan yang terbaik. Namun perasaan berada di sini sukar diluahkan. "Segala adrenalin, perasaan gemuruh amat berbeza berbanding berada di gelanggang lain. "Ia sangat penting dalam karier saya. Dan akan sentiasa berada dalam jiwa saya. "Malah sokongan daripada semua sangat luar biasa. Terima kasih dan bertemu lagi di lain masa ," katanya ketika berada di gelanggang Philippe Chatrier.