PETALING JAYA: Kekosongan jawatan penolong jurulatih pasukan Kedah kini terisi dengan pelantikan Azzmi Aziz. Sebelum ini, jawatan tersebut disandang Mohd Nidzam Adzha Yusoff yang kini secara rasminya sebagai pengendali skuad Helang Merah. Gandingan dua jurulatih ini kembali bertaut selepas pernah bersama ketika menguruskan skuad Felda United yang menjuarai Liga Kuala Lumpur pada tahun 2014. "Kami pernah bersama-sama menguruskan skuad bola sepak sebelum ini. Selain berguru dengan Tan Cheng Hoe, kami juga sempat mengutip pengalaman dengan jurulatih juara Piala AFF, Datuk K.Rajagobal," ujar Mohd Nidzam kepada mStar Online. Menurut entri terkini Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), jurulatih Azzmi bukanlah orang baharu dalam bidang kejurulatihan, malah dalam dunia bola sepak tempatan. Jurulatih berusia 42 tahun itu pernah menjadi penolong jurulatih di beberapa kelab terkenal, antara KL Sime Darby, Felda United (Liga KL), Felda United Young Fghters (Liga FAM) serta sebagai ketua jurulatih skuad presiden ATM awal tahun ini. Malah dari segi pengalaman peringkat kebangsaan Azzmi juga merupakan bekas penolong jurulatih kepada pasukan Bawah 16, 18, 19 dan 23 di antara tahun 1990-1997.