PEMAIN pertahanan Manchester United, Matteo Darmian akhirnya mengikat ikrar cinta dengan tunangnya, Francesca Cormanni dalam majlis perkahwinan mewah di Itali. Pasangan itu yang bercinta sejak remaja melafazkan ikrar cinta mereka di hadapan keluarga dan rakan-rakan di sebuah gereja di Rescaldina yang terletak tujuh minit dari kediaman Darmian di Legnano. Pemain tengah Red Devils, Morgan Schneiderlin yang turut berkahwin baru-baru ini antara tetamu berprofil tinggi yang hadir pada majlis yang berlangsung di Milan pada Rabu. Schneiderlin (kiri) bergambar bersama Darmian dan isterinya. Bekas rakan pasukan Darmian di Torino, Alessio Cerci turut hadir bersama isterinya, Federica Riccardi. Ia detik manis untuk Darmian yang mewakili Itali ketika menundukkan Uruguay pada aksi persahabatan, 7 Jun lalu sebelum menang besar 5-0 ke atas Liechtenstein 5-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia di Udine, Sabtu lalu. Meskipun Darmian beraksi cemerlang di peringkat antarabangsa, masa depannya bersama United masih samar selepas mengharungi kempen hambar di Old Trafford. Pemain kebangsaan Itali itu hanya melakukan 15 penampilan di bawah Jose Mourinho musim lalu dan dikaitkan akan kembali ke bekas kelabnya, AC Milan. Darmian masih ada baki kontrak selama dua tahun di Old Trafford. "Ia bukan masa untuk bercakap mengenai perpindahan pemain. Saya tidak tahu jawapannya. "Saya masih ada kontrak bersama Manchester United, jadi kita tunggu dan lihat sahaja nanti," katanya.