PEMINAT Manchester City bakal teruja dengan 'pasukan yang amat kuat' sebaik sahaja Pep Guardiola melengkapkan urusan jual-beli pemain, menurut Joan Laporta. Laporta melantik Guardiola sebagai pengurus Barcelona pada tahun 2008 dan mereka telah bertemu dalam satu majlis minggu ini. Bekas presiden Barca itu mendedahkan bahawa Guardiola sangat optimistik menjelang musim 2017/18, walaupun menduduki tempat ketiga dan gagal untuk memenangi trofi pada musim pertamanya di England. Laporta tidak ragu-ragu dengan Guardiola dan dapat merasakan akan berlaku urusan perpindahan utama yang akan dibut olehnya. "Jika City menyokongnya seperti mana dia berhak, dia akan berjaya," kata Laporta kepada The Guardian. "Dia adalah seorang yang optimis, pemenang dan dia berani. Dia tidak akan bersembunyi. "Keadaan Pep nampak sangat baik. Dia berada di sini selama beberapa hari, jadi kami berjumpa dan dia sangat yakin. Dia gembira di City, yakin dia boleh membina sesuatu. "Melihat cara mereka merancang untuk mengukuhkan pasukan, saya fikir mereka akan menjadi sangat kuat. Peminat akan sangat teruja. "Saya tak tahu apa yang mereka akan lakukan! Apa yang saya tahu, Pep dan Txiki Begiristain mampu membina sebuah pasukan yang akan menarik minat orang ramai. "Ia tidak mudah. Liga Perdana Inggeris adalah satu cabaran dan terdapat dua pasukan hebat di bandar itu, tetapi dia adalah jurulatih terbaik dunia dan boleh pergi ke mana-mana sahaja. Dia memilih City kerana mereka percayakannya dan memberi kebebasan kepada dirinya membina projek yang ada dalam pemikirannya. "Dia akan melakukan sesuatu. Jika anda lihat City musim lalu mereka bermain begitu baik tetapi kejayaan tidak berlaku dalam sekelip mata. Anda perlukan pemain yang betul. Mereka akan membawa masuk pemain yang sesuai dengan sistem yang dimahukan, tidak perlu sama dengan Barca. Dia bijak, dia akan menyesuaikan diri. Dia akan mewujudkan satu identiti dan hubungan."