SELEPAS memecah rekod perpindahan kelab dengan pembelian Mohammed Salah, Jurgen Klopp semakin bernafsu untuk mengukuhkan jentera serangan Liverpool apabila menjadikan penyerang Arsenal sebagai sasaran seterusnya. Oxlade-Chamberlain hanya berbaki 12 bulan kontrak di Emirates dan dilaporkan semakin kecewa dengan peranan kecil yang diberikan Arsene Wenger di Arsenal. Pemain sayap berusia 23 tahun itu hanya beraksi dalam 16 perlawanan sahaja pada musim lalu dan dilihat mempertimbangkan untuk berhijrah ke kelab lain bagi mendapat tempat yang lebih terjamin. Klopp merupakan peminat pemain England itu dan dikhabarkan mahu membawa Chamberlain ke Anfield pada musim depan. Malah rundingan lanjutan kontrak di Arsenal membuatkan Chamberlain bertambah kecewa, sekali gus membuka ruang buat Liverpool membida sebanyak 30 juta pound sterling bagi mendapatkan khidmat penyerang muda itu. Portal Express.uk melaporkan, peluang buat Liverpool membawa masuk Chamberlain sangat cerah memandangkan skuad The Reds memiliki kelebihan bermain di Liga Juara-Juara pada musim depan.