suria

Hari Lebaran Mendebarkan Buat Ziyad

PEMENANG emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Muhammad Ziyad Zolkefli selamat disatukan dengan gadis pilihannya Zifirah Nasir pada majlis pernikahan di rumah pengantin perempuan di Bandar Baru Nilai pada 11 Jun 2016. - BERNAMA

SEMUA dah lain. Dulu bujang, sekarang dah berkeluarga, jelas Muhammad Ziyad Zolkefli.

Jaguh lontar peluru paralimpik dunia itu menzahirkan rasa bersyukur kerana perjalanan hidupnya semakin baik, bukan sahaja dari segi kariernya sebagai atlet negara, tetapi juga seorang suami.

"Semestinya selepas berkahwin tahun lalu, hidup saya semakin teratur, lebih-lebih lagi isteri (Zafirah Mohd Nasir) seratus peratus memberi tumpuan kepada rumahtangga kami.

"Tahun ini merupakan kali pertama dengan keluarga kecil sendiri. Semuanya sederhana dan saya awal-awal lagi sudah menyiapkan keperluan keluarga.

"Raya pertama di rumah orang tua saya di Gombak dan selepas itu balik ke rumah keluarga isteri di Nilai.

"Dekat 'jer'. Tak ada masalah nak balik kampung siapa dahulu," jelasnya sambil tersenyum kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Ziyad yang memecah rekod lontaran pada Sukan Paralimpik di Rio (16.84)  tahun lalu memberitahu, ada yang lebih istimewa sebenarnya yang membuatkan debaran jantungnya semakin kencang.

"Saya berdebar dan teruja kerana bakal menyambut kelahiran bayi sulung yang dijangka Ogos ini.

"Namun saya sengaja tidak mahu tahu jantina bayi yang bakal lahir itu, sama ada  lelaki atau perempuan, yang penting semuanya sihat.

"Walaupun cuba bertenang, 'feeling' tu tetap ada. Bagaimanapun saya tidak mahu terlalu memikirkannya kerana ada perkara lain yang perlu di selesaikan dahulu.

"Beberapa hari selepas raya, skuad olahraga paralimpik negara akan ke London untuk Kejohanan Olahraga IPC Dunia," jelas atlet berusia 27 tahun ini.

Selain itu, Ziyad turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua penyokong sukan tanah air.

Muhamad Ziyad Zolkefli

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain