PENYERANG Everton, Romelu Lukaku memberi bayangan awal bahawa beliau semakin hampir menyertai bekas kelabnya, Chelsea pada jendela perpindahan pemain musim panas ini. Lukaku sering dikaitkan dengan perpindahan ke Stamford Bridge beberapa bulan lalu selepas meninggalkan Chelsea pada 2014. Laporan media tempatan mendakwa Lukaku sudah bersetuju syarat peribadi mengenai perpindahan ke Chelsea tetapi kedua-dua kelab itu masih belum memuktamadkan mengenai bayaran perpindahan tersebut. Namun ramai penyokong Chelsea kini yakin bahawa Lukaku akhirnya akan kembali menyarung jersi The Blues. Ini susulan video yang dimuatnaik dalam laman Instagram Lukaku @rlukaku9 pada Sabtu. Lukaku kini sedang bercuti di Los Angeles. Dia dirakam menjaringkan sepakan percuma di hadapan ‘hoarding’ yang dihiasi dengan logo Chelsea. Rata-rata penyokong tersentuh dengan video tersebut. Ada di kalangan penyokong yang turut mengumumkan Lukaku hanya selangkah untuk ke Chelsea menerusi laman Twitter mereka. Seteru Chelsea, Manchester United dilaporkan sudah berputus asa untuk mendapatkan khidmat Lukaku yang sebelum ini berada dalam radar pengendalinya, Jose Mourinho.