suria

Belgium Belasah Malaysia 9-0

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi mangsa ‘amukan’ Belgium apabila dibelasah 9-0 oleh tuan rumah pada perlawanan ketiga Kumpulan B pada kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Wanita Dunia (WWHL) di Stadium Fallon di Brussels, malam Sabtu.

Kekalahan ketiga berturut-turut itu menyaksikan skuad bimbingan Muhammad Dharmaraj Abdullah itu berada pada kedudukan tercorot kumpulan tanpa sebarang mata selepas tiga perlawanan, sekali gus gagal melayakan diri ke saingan suku akhir.

Belgium, selaku pasukan ranking ke-14 dunia, memulakan pesta gol seawal minit  kedua perlawanan menerusi jaringan padang oleh Anne Sophie  Weyns.

Lima minit kemudian, mereka menambah gol kedua melalui percubaan pukulan sudut penalti oleh Aline Fobe diikuti gol padang Anouk Raes pada minit ke-22, yang berkesudahan 0-3 sehingga babak pertama tamat.

Masuk separuh masa kedua, pasukan lawan terus cemerlang beraksi dengan tiga lagi gol penalti strok oleh Stephanie Vanden Borre (minit ke-33 dan 44) dan Gill Boon (minit ke-37).

Pemain Belgium menunjukkan taringnya apabila menambah pungutan gol masing-masing melalui gol padang oleh Raes pada minit ke-48 dan 58 serta Emma Puvrez pada minit ke-53 untuk mencapai kemenangan pertama.

Belgium membuka kempen dengan kalah tipis 1-0 kepada Australia, Khamis leaps.

Dalam pada itu, Malaysia, yang tewas 3-0 kepada Australia pada perlawanan pertama, Rabu lepas dan kalah 3-1 kepada Sepanyol pada hari berikutnya, akan melengkapkan jadual perlawaan peringkat kumpulan dengan menentang pendahulu kumpulan, New Zealand, Selasa ini. - BERNAMA

Hoki Wanita Dunia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain