PETALING JAYA: Pemain beregu campuran, Goh Liu Ying sudah ada cara untuk memanfaatkan masa beliau di luar gelanggang badminton. Gadis berusia 29 tahun itu melancarkan sebuah buku mengenai kehidupannya sebagai pemain badminton dan pelbagai kemeja-T dengan kata-kata inspirasi untuk dijual. Mereka yang berminat boleh membuat tempahan pakej dua dalam satu itu menerusi online di www.got1shop.com bermula hari ini. Namun barang dagangan itu hanya akan tersedia pada Oktober depan. Liu Ying yang memenangi pingat perak acara beregu campuran bersama pasangannya, Chan Peng Soon pada temasya Olimpik Rio tahun lalu turut teruja dengan usaha baharunya itu. Dia memulakan perniagaan dalam talian kemeja-T sebagai usaha sama dengan rakan baiknya yang juga pemain beregu wanita, Lim Yin Loo. Liu Ying mula menulis kisahnya sebagai pemain badminton beberapa bulan lalu. "Lukisan gambar anak patung pada kemeja-T itu menggambarkan diri saya. "Buku bertajuk "I am Goh Liu Ying" ditulis dalam bahasa Cina. Ia pada asasnya mengisahkan mengenai kehidupan saya sebagai pemain badminton dan tempoh sukar dan senang yang saya lalui. Harap ia akan memberi inspirasi kepada orang lain," kata Liu Ying. Kali terakhir Liu Ying cedera ialah pada 2014. Pada waktu itu beliau juga sibuk melakukan tugas lain. Dia menjadi model sambilan dalam tempoh untuk memulihkan kecederaan di bahagian lututnya hampir setahun. Liu Ying yang berada di Halle, Jerman sejak 13 Mei lalu dan selamat menjalani pembedahan dua hari lalu berkata:" Doktor amat gembira dengan proses pemulihan saya. Saya masih menunggu laporan akhir. Saya akan pulang sebelum 2 Julai." Atlet kelahiran Melaka itu yang bergelut dengan kecederaan bahu pada Terbuka India, April lalu hanya akan kembali beraksi pada tahun depan.