suria

Messi 'Dibebaskan'

BINTANG Barcelona, Lionel Messi akhirnya boleh menarik nafas lega dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada bola sepak tanpa dibayangi isu luar.

Ini selepas pihak pendakwaraya Barcelona memutuskan tidak akan mengenakan hukuman penjara selama 21 bulan ke atas pemain kelahiran Argentina itu atas kesalahan skandal penipuan cukai.

Sebaliknya, pemain berusia 29 tahun itu perlu membayar denda maksimum yang dibenarkan undang-undang iaitu 255,000 euro berbanding jumlah hampir 2 juta euro yang dibayar oleh Messi sebagai sebahagian hukuman yang dikenakan tahun lalu.

Tiada pendakwaraya yang menentang penangguhan hukuman penjara Messi dan kini dia hanya perlu membayar denda yang jauh lebih rendah berbanding gajinya seminggu.

Pada Julai lalu, Messi dan bapanya, Jorge didapati bersalah oleh sebuah mahkamah Sepanyol atas tiga kesalahan penipuan cukai yang dilakukan antara 2007 dan 2009 melibatkan hak imej bernilai 4.1 juta euro.

Pemain Argentina itu tidak pernah dijangkakan menjalani hukuman penjara dan di bawah undang-undang Sepanyol, tempoh penjara di bawah dua tahun boleh ditukar dengan tempoh pemerhatian. -  INDEPENDENT

Lionel Messi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain