PENYERANG berbisa Real Madrid, James Rodriguez dilaporkan sudah memilih kelab yang akan menjadi destinasinya pada musim depan. Pemain kelahiran Colombia itu mahu meninggalkan Real Madrid selepas musim yang mengecewakan buatnya di bawah kendalian Zinedine Zidane apabila kerap diletakkan di bangku simpnanan. Susulan itu beberapa kelab gergasi Eropah mula menjadikan penyerang berusia 25 tahun itu sebagai sasaran termasuk AC Milan yang sudah mengemukakan tawaran. AC Milan mengemukakan tawaran sebanyak 53 juta pound sterling (RM288 juta) tetapi Rodriguez masih mempertimbangkan tawaran itu dan berharap ada tawaran yang lebih baik buat dirinya. PSG juga turut dilaporkan berminat mendapatkan khidmat Rodriguez. Namun difahamkan, Rodriguez memilih untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris, sekali gus memberi khabar gembira buat dua seteru utama, Manchester United dan Chelsea yang berminat mendapatkan khidmatnya. Kini terpulang kepada United dan Chelsea mengambil risiko untuk membeli Rodriguez yang gagal mempamerkan kehebatan sebenarnya sepanjang tiga tahun di Bernabeu. Rodriguez dilihat tidak sesuai untuk corak permainan pantas dan fizikal di Liga Perdana Inggeris selain gajinya yang mahal membuatkana banyak kelab enggan mengemukakan tawaran. - METRO.uk