suria

S Kumar 'Buffon' Malaysia

JIKA dalam dunia bola sepak, Gianlugi Buffon amat dikenali sebagai penjaga gol yang hebat, kita di Malaysia pula bertuah kerana memiliki penjaga gol hoki berkebolehan persis kapten Juventus dan Itali itu.

Individu tersebut adalah S Kumar yang digelar netizen sebagai 'Buffon' versi hoki.

Kehebatan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu semasa mewakili negara dalam kejohanan Liga Hoki Dunia di London, baru-baru ini mendapat pujian ramai.

Seorang pengguna Facebook, Khairul Izzat Razif berkata:"Di Itali mereka berbangga ada Buffon, penjaga gol bola sepak terbaik dunia... Malaysia patut berbangga ada S Kumar, antara penjaga gol hoki terbaik di dunia. Tahniah Speedy Tigers layak ke Piala Dunia."

Walaupun gagal mara ke pentas final selepas tewas 1-2 kepada Argentina pada aksi separuh akhir, malam Sabtu, ketangkasan S Kumar dalam menangkis beberapa percubaan berbahaya lawan wajar dipuji.

Lebih membanggakan rakyat Malaysia apabila beliau dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik untuk kejohanan tersebut.

Dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, malam Ahad, anak buah Stephen Van Huizen itu tewas kepada England 4-1.

Bagaimanapun skuad negara tetap mara apabila layak secara merit untuk beraksi di Piala Dunia 2018 menerusi keputusan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia yang juga menjadi kempen kelayakan untuk saingan berprestij itu.

Skuad negara bermula goyah apabila England memperoleh gol seawal minit ke-5 menerusi pukulan sudut penalti Harry Martin.

David Ames kemudian terus memberi tekanan kepada skuad negara apabila menambah gol kedua hasil jaringan pada minit kesembilan.

Dua minit sebelum berakhir babak pertama, England berjaya menambah gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti Martin.

Malaysia cuba merapatkan kedudukan menerusi Faizal Saari pada minit ke-53 tetapi Phil Roper mengesahkan kemenangan untuk England dengan gol keempat seminit sebelum tamat perlawanan.

S Kumar, Liga Hoki Dunia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain