PERLUMBAAN Formula Satu di Grand Prix Azerbaijan dihangatkan dengan perbalahan antara dua pelumba terkemuka, Lewis Hamilton dan Sebastian Vettel. Ia susulan beberapa siri pelanggaran antara kedua-dua pemandu itu sehingga menyaksikan Hamilton terpaksa diiringi kereta keselamatan selepas jenteranya dilanggar oleh Vettel di bahagian belakang. Selain itu, Vettel juga mendakwa Hamilton sengaja membrek dengan mengejut dan dihimpit oleh pemandu jenetera Mercedes berkenaan. Vettel kemudiannya dikenakan penalti sebanyak 10 saat ekoran kejadian tersebut. Hamilton menafikan dakwaan Vettel bahawa dia sengaja membrek secara mengejut. "Kejadian ini memalukan. Saya fikir dia memalukan diri sendiri," kata pemandu Britain itu. Susulan itu, Hamilton mencabar Vettel untuk menyelesaikan perbalahan itu secara berdepan. "Jika dia mahu membuktikan dirinya sebagai lelaki, kita lakukan di luar perlumbaan dan bersemuka. "Bayangkan golongan muda menonton perlumbaan ini dan melihat perangai seorang juara dunia. "Saya tidak fikir ia bukan sahaja kesalahan pemandu. Ia merupakan pemanduan yang berbahaya dan dikenakan penalti 10 saat. Tiada apa yang perlu saya katakan lagi," katanya. Perlumbaan itu menyaksikan pelumba Red Bull Racing muncul sebagai juara walaupun bermula pada petak ke-17, disusuli pelumba Mercedes, Valterri Bottas di tempat kedua dan Lance Stroll dari pasukan Williams untuk menduduki tempat ketiga. Vettel menamatkan saingan di kedudukan keempat manakala Hamilton kelima. - MIRROR