BELUM pun bermula musim baharu tapi pemain sensasi Paul Pogba sudah menyenaraikan keutamaan yang mahu dicapai bersama Manchester United. Pemain tengah kebangsaan Perancis itu memainkan peranan penting dalam membantu United memenangi trofi Piala EFL, Liga Europa dan Perisai Komuniti. Namun, menjelang kempen musim baharu, Pogba memberitahu Telefoot bahawa dia mahu melakukan lebih banyak kejutan. "Untuk musim pertama saya, kami berjaya menjulang tiga trofi dan mengisi slot ke pentas Liga Juara-Juara yang juga objektif utama pasukan. "Saya akan beraksi pada saingan Liga Juara-Juara, itu apa yang saya mahukan. "Tahun depan, objektif utama adalah Liga Perdana Inggeris. Terdapat juga Liga Juara-Juara dan kami perlu memberi lebih perhatian," katanya. Pogba melakukan 51 penampilan dan menjaringkan sembilan gol dalam semua perlawanan selepas tiba di Old Trafford dengan rekod perpindahan dunia dari Juventus. Prestasinya dianggap masih belum setimpal dengan nilai perpindahan itu tetapi Pogba enggan ambil peduli mengenainya. "Apa yang penting adalah apa yang difikirkan jurulatih mengenai anda, bukan orang lain. "Dia memberi keyakinan kepada saya, tiga trofi juga. "Dia percayakan saya dan saya berasa selesai sebaik saya tiba di sini. Saya juga amat gembira memenangi Liga Europa. Ia merupakan sasaran utama kerana dalam Liga Perdana, kita lihat ia amat sukar," kata Pogba.