KHABAR mengejutkan dari London apabila Chelsea mengumumkan bahawa mereka telah berjaya mendapatkan bekas penjaga gawang Manchester City, Willy Caballero. Walaupun sudah berusia 35 tahun, Caballero akan menjadi penjaga gol kedua di bawah Thibaut Courtois di Stamford Bridge setelah Asmir Begovic berhijrah ke Bournemouth. Caballero berkata dia sangat gembira dapat bergabung dengan Chelsea. Pemain Argentina itu berharap dapat membantu kelab meraih gelaran musim depan. “Saya sangat gembira dapat bergabung dengan Chelsea, juara Inggeris. Saya tidak sabar untuk bertemu dengan rakan-rakan dan membantu kelab meraih lebih banyak gelaran pada musim depan." Caballero menyertai Liga Perdana Inggeris pada tahun 2014 dengan bergabung dengan City atas permintaan Manuel Pellegrini yang juga pernah melatihnya di Malaga. Caballero telah bermain dalam 47 perlawanan untuk City dalam tiga musim, termasuk 26 kali di bawah Pep Guardiola.