suria

Monaco Sedia Jual Mbappe?

HARAPAN kelab gergasi Eropah untuk mendapatkan penyerang berbisa AS Monaco kembali bersinar apabila kelab Perancis itu sedia melepaskan bintang muda tersebut.

Nama Kylian Mbappe menjadi sebutan sepanjang musim lalu apabila beraksi cemerlang membantu Monaco menjulang trofi Ligue 1 selain mencapai peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara.

Dengan bakat tersebut pada usia 18 tahun, Mbappe dijangka menjadi pemain termahal dunia apabila Arsenal, Real Madrid dan Liverpool sedia mengeluarkan belanja besar bagi mendapatkan khidmatnya.

Mengulas tentang spekulasi yang menyelubungi Mbappe, Ketua Jurulatih Monaco, Leornado Jadim mengakui bahawa sukar untuk kelabnya mengekalkan pemain terbaik mereka.

"Saya belum lagi bercakap dengannya (Mbappe) kerana dia tahu bagaimana cara kelab ini berfungsi dan kami mahu mengekalkannya.

"Saya fikir kelab dan Mbappe sendiri akan membuat keputusan terbaik," kata Jardim.

Setakat ini, bukan sahaja Mbappe menjadi sasaran kelab yang dahagakan bakat besar di Monaco.

Thomas Lemar dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal dan Totenham Hotspur manakala Manchester United mahu mendapatkan Fabinho dan Chelsea ingin menyambar Tiemoue Bakayoko.

Bernardo Silva sudah menyertai Manchester City, begitu juga Nabil Dirar dan Valere Germain.

Jardim mengakui sukar untuk mengekalkan pemain terbaik kelab itu disebabkan model perniagaan yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan.

"Saya harap dapat mengekalkan pemain terbaik. Bukan sahaja saya, tetapi seluruh jurulatih di dunia mahu pemain terbaik mereka kekal.

"Tetapi dengan projek Monaco, mungkin agak mustahil berbuat demikian dan kita tunggu sahaja apa yang bakal berlaku," katanya. - INDEPENDENT.uk


Kylian Mbappe

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Terry Sedia Ke Aston Villa

Artikel Lain