suria

Soal Jawab Bersama Misbun Sidek

KEPULANGAN Datuk Misbun Sidek memberi cerita berbeza dalam perjalanan sukan badminton negara selepas hampir tujuh tahun meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Sentuhan legenda badminton tanah air ini sememangnya dinanti-nantikan bukan sahaja pemain perseorangan utama negara, sebaliknya peminat-peminat sukan badminton tempatan. 

Malah ia sekali gus memberi harapan baharu kepada dunia badminton negara agar lebih ramai lagi pemain seperti Datuk Lee Chong Wei dilahirkan oleh Misbun.

Sebelum memulakan tugasnya secara bersama skuad negara, Misbun turut berkongsi pandangan dan rancangan dalam memastikan sukan badminton negara kembali gah seperti sebelum ini.

Misbun bersama Chong Wei.

Musuh Utama Chong Wei

Menurut Misbun, kebanyakan pemain-pemain muda negara lain menjadikan Chong Wei sebagai ikon badminton berdasarkan siri kejayaan yang dikecapinya sebelum ini.

"Mereka (pemain-pemain luar negara) sentiasa melihat Chong Wei dan sudah sinonim dengan corak permainannya.

"Cuma Chong Wei tidak sedar beliau diperhatikan. Kadang-kala beliau turut membuat keputusan silap yang boleh memberi kemenangan kepada pihak lawan.

"Ramai sangat pemain muda menjadikan Chong Wei sebagai sasaran mereka.

"Maka sebab itulah Chong Wei berada dalam keadaan tergugat. Bukan tergugat yang tidak bagus, tetapi unsur-unsur yang tidak disedari menyebabkan mereka mengambil peluang ke atas Chong Wei.

"Kita ambil contoh seperti pemain India dan China, mereka bergabung untuk itu.

"Namun saya rasa kita tidak mustahil untuk kita berikan saingan pada masa depan. Apabila kita mendapat peluang ini, ia seperti satu cabaran yang lebih 'sedap (baik).


Adakah tugas ini dianggap sebagai tekanan?

"Saya akui bahawa saya ni bukan bagus sangat. Tetapi dengan adanya sedikit pengalaman dan pengetahuan ia dapat membantu saya menghadapi situasi ini.

"Memang ada satu beban tekanan, tetapi saya mengambil ini sebagai satu cabaran kerana dari dulu lagi saya memang suka dicabar.

"Apabila dicabar saya sentiasa akan mencari jalan keluar untuk kebaikan pemain-pemain itu sendiri.

"Sekarang kumpulan (pemain) makin besar dan ia amat memudahkan saya untuk melihat bagaimana untuk memberi pandangan dan pelajaran kepada mereka supaya dapat 'ditangkap' (dipelajari).

"Apa yang penting ialah cara 'penangkapan' (pembelajaran) oleh pemain-pemain.

"Sekarang ini saya juga lihat bagaimana untuk 'handle' pemain-pemain kerana mereka semua sudah bijak. Kita tidak boleh gunakan cara kekerasan tetapi dengan psikologi".

Bagaimana menguruskan pemain-pemain yang tidak berdisiplin?

"Kita akan siasat tengok sejauh mana beratnya masalah yang mereka hadapi. Contohnya (kalau) kenapa mereka merokok - mungkin kerana latihan tidak terlalu keras.

"Kalau dulu ada yang berjudi - mungkin pada mulanya mereka sekadar suka-suka tetapi apabila berduit, mereka berani meletakkan harga (duit) sendiri.

"Kita akan tengok dan menangi hati mereka. Mereka sepatutnya tahu di mana mereka berada. Saya tidak mahu mereka menganggap satu keselesaan apabila berada dalam skuad negara kerana ia adalah satu tanggungjawab.

"Jadi di sini, kita akan membantu mereka ke arah yang bertanggungjawab. Dan kita tidak mahu pemain-pemain berada takut apabila hendak memulakan perlawanan.

"Jika ada perasaan tersebut, itulah kekurangan mereka".

Adakah skuad elit dan remaja akan digabungkan?

"Kita akan lihat dahulu daripada jurulatih yang mengendalikan mereka sebelum ini. Lihat potensi mereka dari sudut siapa yang boleh membantu siapa, siapa yang boleh memberi keputusan menang, siapa yang boleh bantu jadi 'sparring'.

"Untuk pemain junior rasa mereka harus belajar bagaimana hendak menempatkan diri dalam skuad elit. Manakala pemain elit perlu pertahankan kedudukan mereka dan berfikir macam mana untuk berada setaraf dengan Chong Wei."


Misbun Sidek, BAM

Artikel Sebelum

'Bapa Sudah Kembali'

Artikel Berikut

Monaco Sedia Jual Mbappe?

Artikel Lain