KUALA LUMPUR: Dua hari selepas penjualan tiket temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dilancarkan, gejala penjualan tiket secara haram juga dilihat mula berleluasa secara dalam talian. Tinjauan mendapati penjualan tiket bagi upacara pembukaan dan penutup temasya dwi tahunan itu dilakukan di salah satu laman sesawang yang menjalankan urusan jual beli secara atas talian oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang disifatkan mahu mengaut keuntungan. Justeru, Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc) mencari mekanisme terbaik untuk mengawal gejala tidak sihat berkenaan yang menjual dengan harga yang lebih tinggi daripada harga yang ditetapkan. Ketua Pegawai Ekskutif Masoc Datuk Seri Zolkples Embong berkata beliau telah dimaklumkan berhubung perkara berkenaan dan telah mengarahkan bahagian operasi Masoc supaya menyiasat perkara itu. "Perkara ini selalu berlaku terutama pada acara yang menjadi tumpuan dan ada pihak yang ambil kesempatan. Ini adalah menyalahi undang-undang dan peraturan dan kita akan ambil tindakan sewajarnya. "Sama ada ini kes terpencil atau tidak, kalau tidak dikawal ia akan merebak. Kita mungkin akan libatkan pihak keselamatan seperti polis dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang berada dalam jawatankuasa bagi membantu menangani masalah ini,” katanya. Beliau ditemui selepas majlis undian acara sukan sempena Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di sini Sabtu. Harga tiket yang dijual di laman web berkenaan adalah RM50 untuk majlis pembukaan dan RM30 untuk majlis penutup temasya sukan dwi tahunan itu dengan tawaran penghantaran secara percuma dalam negara. Harga yang ditetapkan Masoc antara RM10 hingga RM20. Sementara itu, Zolkples berkata pihak Masoc sedang mengkaji kemungkinan untuk menambah bilangan penjualan tiket bagi acara sukan tertentu yang mendapat dilihat sambutan hangat serta telah habis terjual. Beliau berkata kebimbangan juga timbul apabila mendapati pembelian tiket yang banyak dari negara luar seperti Singapura yang dilaporkan membeli lebih 200 tiket bagi menyaksikan pertandingan akhir acara bola jaring. "Stadium Juara boleh muat 1,000 penonton dan kita tengok kemungkinan tambah kepada 1,200 atau 1,300. Kita juga akan perhalusi sama ada untuk menambah kapasiti penonton di venue lain juga. Atas sebab ini, saya menyeru kepada semua penonton dan penyokong, buat keputusan untuk membeli tiket sekarang, jangan tunggu saat akhir,” katanya. Difahamkan, acara bola jaring mendapat sambutan hangat pada hari pertama penjualan tiket secara dalam talian menerusi laman www.kualalumpur2017.com.my dilancarkan pada 5 Julai lepas, dan tiket habis terjual selepas dua jam dibuka. - BERNAMA