PEMAIN Manchester United, Paul Pogba menghangatkan spekulasi tentang masa depan penyerang Everton, Romelu Lukaku apabila memuatnaik status dan video misteri dalam laman Facebook miliknya. Menerusi akaun Paul Labile Pogba, pemain termahal dunia itu menulis kapsyen video 'See you tomorrow in training man #lukaku #AgentPogba #bienvenue', yang bermaksud 'jumpa anda semasa latihan esok #lukaku #AgentPogba #bienvenue.' Dalam video berkenaan, kelihatan Pogba sedang duduk bersantai sebelum dihampiri Lukaku yang bersalaman dengannya dan memberitahu sesuatu kepada bintang United tersebut. Kemudian, Pogba kelihatan seperti terkejut dan membuka topik sebelum bersalaman dengan penuh gaya bersama Lulaku. Pemain berusia 25 tahun itu kemudiannya menari sambil diperhatikan Lukaku yang ketawa melihat telatah rakannya itu. Difahamkan, Lukaku memberitahu Pogba bahawa dia akan menjalani ujian perubatan untuk menyertai United. Berita itu sekali gus menggembirakan Pogba yang merupakan kawan baik kepada pemain kelahiran Belgium itu. Lukaku hanya perlu melepasi ujian perubatan dan mencapai persetujuan dengan kontrak yang ditawarkan bagi melengkapkan perpindahan ke United dengan harga 75 juta pound sterling.