ROMELU LUKAKU akan menjalani ujian perubatan dengan Manchester United selepas kelab itu setuju membayar 75 juta pound sterling untuk mendapatkan khidmat pemain Belgium tersebut. Perjanjian untuk mendapatkan pemain berusia 24 tahun itu juga dipercayai melibatkan nilai tambah senayak 15 juta pound sterling. United menerusi laman Facebook rasminya berkata, pihak kelab gembira untuk mencapai persetujuan tentang harga yang ditetapkan dan kini perpindahan itu hanya bergantung kepada ujian perubatan dan kontrak yang ditawarkan kepada Lukaku. "Pengumuman selanjutnya akan dimaklumkan," jelas kenyataan tersebut. Terdahulu, Chelsea turut menawarkan jumlah yang sama untuk mendapatkan Lukaku tetapi usaha tersebut dijangka gagal kerana Lukaku semakin hampir menyertai United.