TOTTENHAM Hotspur menafikan berlaku perbincangan pengambilalihan kelab itu seperti dilaporkan media Britain yang mendakwa seorang pembeli berpotensi disokong pemilik Facebook, Mark Zuckerberg terhadap skuad kendalian Mauricio Pochettino. Difahamkan individu tersebut bersedia menawarkan bidaan bernilai 1 bilion pound sterling (RM5.54 bilion). Laporan menyebut syarikat pelaburan Amerika Syarikat (AS), Iconiq Capital berminat terhadap kelab yang menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tempat kedua musim lalu. Kenyataan yang dikeluarkan kelab itu di laman kelab itu menyebut:" Kelab ini terlibat dengan Rothschild untuk mendapatkan pembiayaan stadium baharu." Stadium White Hart Lane ditutup selepas digunakan selama 128 tahun. "Seperti dijangka, ramai kertas cadangan diterima termasuk hutang bank dan pelaburan ekuiti. "Kelab ini mengumumkan pada 31 Mei 2017 mengenai penyelesaian hutang pembiayaan bank untuk stadium baharu dengan konsortium bank melibatkan Bank of America Merrill Lynch International Limited, Goldman Sachs Bank USA dan HSBC Bank. "Lembaga pengarah percaya ini adalah penyelesaian optimum bagi kepentingan penyokong, pekerja dan pemegang saham dan untuk daya pembangunan berterusan kelab ini. "Lembaga pengarah tidak terlibat dalam mana-mana perbincangan mengenai tawaran pengambilalihan kelab ini," demikian menurut kenyataan itu.