BOS Manchester United, Jose Mourinho menyampaikan mesej istimewa buat Wayne Rooney selepas penyerang kebangsaan England itu menamatkan 'hubungan indah' selama 13 tahun dengan The Red Devils dan kembali menyertai Everton. The Toffees mengumumkan perpindahan rasmi Rooney pada Ahad selepas penyerang berusia 31 tahun itu menandatangani kontrak selama dua tahun dengan kelab lamanya. Walaupun Rooney Mourinho hanya bersama Rooney buat semusim, tetapi jurulatih kelahiran Portugal itu tetap menyatakan bahawa kehilangan pemain tersebut akan dirindui di Old Trafford. Sepanjang di bawah kendalian Mourinho, Rooney hanya beraksi dalam 15 perlawanan sebagai kesebelasan utama. Berdasarkan kenyataan dalam laman web rasmi United, Mourinho mengakui bahawa bukan lagi rahsia dia meminat Rooney sejak sekian lama. Ujarnya, Rooney merupakan model pemain profesional ketika beraksi di United dan akan diingati dalam sejarah kelab itu. "Sukar untuk melihat pemain yang hebat kurang beraksi dan saya tidak boleh menghalang niatnya untuk kembali bersama Everton. "Pengalaman, keazaman dan fokus yang ditunjukkan oleh Rooney akan diingat dan saya berharap dia beraksi cemerlang pada masa depan," katanya. Sepanjang bersama United, Rooney beraksi sebanyak 559 perlawanan dan menjaringkan 253 gol, sekali gus mengatasi rekod legenda kelab itu, Sir Bobby Charlton sebagai penjaring paling banyak buat Red Devils. - Metro.uk