suria

AFF: Skuad B-15 PPBN 'Tidurkan' Lawan Pertama

Skuad PPBN Bawah 15 Tahun Malaysia

PETALING JAYA: Skuad Bawah 15 Tahun (B-15) Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) memulakan kejohanan di Thailand dengan mencatatkan kemenangan bergaya.

Skuad muda negara kini sedang berentap pada Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) yang berlangsung di Chonburi dan pada petang Isnin mereka berjaya menewaskan skuad B-15 Tahun Filipina dengan keputusan 2-0.

Bagaimanapun kemenangan sulung skuad muda negara ini masih belum memuaskan hati ketua jurulatih, Raja Azlan Shah Raja Sho'ib

Raja Azlan Shah

"Keseluruhan permainan masih belum memuaskan hati dengan apa yang ditunjukan oleh pemain.

"Kita mendahului pada separuh masa pertama menerusi jaringan kapten pasukan, Ahmad Zikri. PPBN menguasai permainan, namun masih ada kesalahan-kesalahan kecil yang perlu diperbaiki," jelasnya selepas perlawanan di laman Twitter rasmi PPBN.

Raja Azlan memberitahu, bagaimanapun permainan yang dipamerkan pada babak kedua menunjukkan peningkatan yang baik.

"Dari segi 'attitute' dan semangat perjuangan, mereka sangat bagus.

"Apabila kita mendapat gol kedua, keyakinan pemain-pemain lebih tinggi hinggalah ke akhir permainan. Saya yakin ianya boleh diperbaiki lagi pada perlawanan seterusnya," tambah Raja Azlan.

Sementara itu, skuad B-15 Tahun negara akan meneruskan saingan Kumpulan B bertemu Timor Leste pada Rabu.

Malaysia diundi bersama Vietnam, Kemboja, Timor Leste, Filipina dan Brunei.

Manakala Kumpulan A melibatkan Australia, Thailand, laos, Myanmar, Indonesia, Singapura

Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan mengisi slot separuh akhir kejohanan.

PPBN, AFF

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain