KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak kebangsaan Bawah 15 Tahun melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas menumpaskan Timor-Leste 2-0 dalam aksi kumpulan B pada Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2017 Bawah 15 Tahun di Chonburi, Thailand, Rabu.
Anak-anak buah Raja Azlan Shah yang menewaskan Filipina juga 2-0 pada perlawanan pembukaan kumpulan pada Isnin memperoleh gol melalui Muhammad Danish Ishak pada minit ke-31 dan Harith Naem Jaineh pada minit ke-63 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Kampus Chonburi IPE.
Malaysia akan berdepan Brunei sementara Timor-Leste menentang Kemboja dalam aksi pusingan awal yang akan berlangsung di venue yang sama pada Jumaat.
Edisi ke-12 kejohanan yang diadakan sejak 2002 menampilkan 12 negara.
Juara bertahan, Australia mendahului cabaran Kumpulan A yang terdiri daripada juara tiga kali Thailand, Laos, Indonesia, Myanmar dan Sapura sementara Kumpulan B terdiri daripada Vietnam, Kemboja, Timor-Leste, Filipina, Brunei dan Malaysia.
Untuk rekod, Malaysia muncul juara pada 2013 dengan menundukkan Indonesia 3-2 menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat perlawanan.
Kejohanan itu sebelumnya dipertandingkan sebagai kejohanan Bawah 16 Tahun tetapi tahun ini, kumpulan umur baharu diperkenalkan.-Bernama