PEMAIN tenis Switzerland, Roger Federer sekali lagi membawa khabar buruk kepada seterunya apabila menegaskan dia boleh beraksi sehingga berusia 40 tahun. Federer, 35, menjadi pemain pertama dalam sejarah 140 tahun Wimbledon untuk memenangi kejuaraan kelapan pada awal pagi Isnin. Kemenangan itu sekali gus mengesahkan dia sebagai 'Raja' Centre Court. "Tidak ada jaminan terutamanya pada usia 35, 36. Namun sasaran utama adalah untuk kembali ke sini semula tahun depan dan cuba mempertahankan kemenangan. "Memenangi gelaran kelapan bukan sesuatu yang anda boleh capai. Ia amat istimewa. Wimbledon sentiasa menjadi perlawanan kegemaran saya. "Mencipta sejarah di sini di Wimbledon amat bermakna kepada saya," kata pemain No 3 dunia itu. Ketika ditanya sama ada dia mungkin beraksi pada kejohanan Wimbledon pada usia 40 tahun, Federer berkata:"Jika kesihatan mengizinkan dan segalanya ok. "Anda boleh berehat selama 300 hari hanya untuk bersiap sedia bagi kejohanan Wimbledon, berehat semula dan kembali berlatih sedikit... anda tahu anda tidak akan cedera. "Beraksi di Wimbledon dan memenangi Wimbledon adalah dua perkara berbeza. Jangan pernah lupa itu. "Apa yang membuatkan saya terus bermain? Saya suka bermain. Saya ada sebuah pasukan yang mantap. Malah isteri saya tidak kisah jika saya teruskan bermain," katanya. Pada aksi final itu, Federer menundukkan Marin Cilic 6-3, 6-1, 6-4. Malang bagi Cilic apabila dilanda kecederaan tetapi tetap meneruskan saingan selepas menerima rawatan di akhir set kedua walaupun menyedari impian bergelar juara semakin tipis. Pemain pilihan ketujuh dari Croatia itu pernah menjuarai Terbuka Amerika Syarikat pada 2014.