KUANTAN: Tekanan yang dirasai skuad Tok Gajah selepas menerima perkhabaran penggantungan ketua jurulatihnya Dollah Salleh nyata tidak menjejaskan prestasi pemain untuk menyingkirkan Melaka United 2-0 dalam pertembungan di Stadium Darul Makmur, Sabtu. Lega dengan kemenangan itu, penolong jurulatih Pahang Ahmad Shaharuddin Rosdi mengakui berita penggantungan Dollah tersebut memberi tekanan kepada pemain. “Bagaimanapun pemain masih mampu menyempurnakan misi mengutip tiga mata. "Biarpun perlawanan malam ini tidak lancar seperti yang diinginkan tetapi tiga mata begitu bermakna ketika Pahang tanpa ketua jurulatih di sisi," katanya yang ditemui selepas perlawanan. Susulan kemenangan itu Pahang kekal di tangga ketiga Liga Super dengan 30 mata iaitu hanya dua mata memisahkan pasukan tersebut dengan Kedah yang berada di tangga kedua liga. Sementara itu, pengendali Melaka United Eduardo Almeida mengakui skuadnya perlu mencatat kemenangan pada baki lima perlawanan termasuk empat daripadanya di gelanggang sendiri jika mahu terus kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan. Jurulatih dari Portugal itu mengakui gol seawal minit ke-4 tuan rumah memberi tekanan kepada pemainnya. "Biarpun berusaha bangkit, kami gagal merobek gawang lawan dan keadaan bertambah buruk apabila Pahang menambah jaringan pada minit ke-52," katanya. Kekalahan itu menyaksikan Melaka berada di tangga ke-11 liga dengan 12 mata. Hanya tiga mata memisahkan Melaka dengan Pulau Pinang yang berada di tangga tercorot.-Bernama