KUALA TERENGGANU: Kesilapan mudah yang dilakukan pemain T-Team menjadi punca kekalahan teruk pasukan di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi, akui ketua jurulatih Rahmad Darmawan. Kekalahan 1-6 itu bukan setakat mengecewakan penonton yang membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini tetapi turut melakar sejarah hitam apabila kalah buat pertama kali dalam Liga Super, namun Rahmad kekal positif dan mahu T-Team menumpukan kepada lima perlawanan akan datang. "Kita telah membuat kesilapan hingga pasukan lawan menjaringkan gol pertama hingga ketiga dan ia amat mengejutkan. Pada separuh masa kedua kita cuba perbaiki kesilapan itu… ia dilihat banyak membantu namun ketika itu telah tertinggal tiga gol. "Ekoran beberapa keadaan saya terpaksa menukar pemain untuk membuat serangan tetapi pasukan lawan agak bijak dan pandai menggunakan situasi mengakibatkan segala perancangan yang dibuat tidak terlaksana," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai perlawanan. Rahmad juga tidak menolak kejayaan JDT menguasai perlawanan berpunca daripada ketiadaan beberapa pemain tonggak T-Team termasuk Mamadou Samassa. "Saya yakin kita masih mampu bangkit untuk memperoleh kemenangan dan hadapi situasi ini. Kita masih ada perlawanan dengan PKNS, Melaka, Sarawak, Pulau Pinang dan Pahang,” katanya. Dalam perlawanan semalam, gol tunggal tuan rumah hadir menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain import Joseph Yannick Ndjeng pada minit ke-83Gol pasukan pelawat pula disumbang oleh Gabriel Miguel Guerra pada minit ke-22 dan ke-58, Mohamad Ghaddar (ke-40), Kunanlan Subramaniam (ke-43), Mohamad Fadhli Shas (ke-77) serta Gonzalo Gabriel Cabrera (ke-81).- Bernama