SEREMBAN: Semangat juang tinggi yang dipamerkan kesebelasan utama Negeri Sembilan menjadi resepi kemenangan skuad itu ketika menentang Pahang dalam saingan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Sabtu malam. Ketua Jurulatih Negeri Sembilan Mohd Asri Ninggal berkata menentang pasukan pelawat Tok Gajah bukanlah perkara mudah, namun semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan anak buahnya berjaya memastikan skuad Hobin Jang Hobin meraih tiga mata penuh di laman sendiri. “Walaupun kita bermain dengan dua pemain import dan selebihnya pemain tempatan, tetapi pemain-pemain dah menunjukkan satu semangat juang yang begitu tinggi kerana kita tahu Pahang bukan pasukan yang mudah. “Mereka menurunkan kesebelasan utama mereka dengan empat pemain import tetapi kami hanya bermain dengan dua pemain import, tetapi pemain-pemain kita sanggup bermain mati-matian dan mempunyai semangat juang yang tinggi,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan tersebut. Negeri Sembilan menewaskan Pahang 2-1. Dua gol tuan rumah diperoleh pada minit ke-10 dan ke-35 masing-masing menerusi jaringan Farderin Kadir dan Khairul Anwar Shahrudin manakala gol tunggal pasukan Tok Gajah dijaringkan penyerang import dari Korea Selatan, Jaewon Heo pada minit ke-87. Mohd Asri berkata gol pembukaan perlawanan yang dijaringkan anak buahnya Farderin nyata membakar semangat keseluruhan pasukan untuk memburu kemenangan. “Dalam bola sepak apabila kita sudah dapat jaringan awal, sudah tentu kita akan begitu bersemangat tetapi kedua-dua jaringan pada malam ini (malam tadi) merupakan jaringan yang cantik,” katanya. -Bernama