suria

Dua Sebab Pulau Pinang Perlu Kekal

PEMAIN Pulau Pinang Faiz Subri (dua, kiri) meraikan jaringan golnya ketika menentang Melaka United pada perlawanan Bola Sepak Liga Super 2017 di Stadium Hang Jebat, pada 15 Julai 2017. - BERNAMA

BERADA di tangga tercorot dengan hanya mengutip 12 mata mata hasil tiga kemenangan, nasib Pulau Pinang umpama telur di hujung tanduk atau nyawa-nyawa ikan untuk terus kekal di Liga Super musim depan.

Baki empat perlawanan akan datang bakal menentukan hala tuju skuad Harimau Kumbang pada masa depan atau Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) berdepan kesukaran membentuk skuad yang mantap musim depan.

Mereka perlu kekal di pentas Liga Super kerana jika tidak, terdapat beberapa faktor akan menyukarkan mereka untuk 'bernafas' di Liga Perdana pada musim 2018.

Pertama sekali ialah kebimbangan sejumlah besar pemain muda berpotensi mereka yang kini jadi buruan kebanyakan pasukan di Liga Malaysia.

Majoriti pemain muda Pulau Pinang ini difahamkan kontrak mereka akan berakhir pada tahun ini dan bebas memilih hala tuju baharu pada tahun hadapan.

Dengan tawaran lumayan yang dijangka sukar ditolak daripada beberapa pasukan gergasi Liga Super, mereka diramalkan tidak akan lagi bersama Pulau Pinang sekiranya jatuh ke Liga Perdana, musim depan.

Ia pasti menyukarkan pasukan yang banyak bergantung kepada kudrat pemain muda musim ini terutama di bahagian tengah dan serangan.

Satu lagi faktor yang mungkin jadi kebimbangan jika Pulau Pinang bersaing di di Liga Perdana ialah komitmen kerajaan negeri itu dalam menyokong kewangan diperlukan dalam pembentukan pasukan.

Mengharapkan 100 peratus dana kerajaan negeri, mungkin mereka akan kehilangan minat untuk membantu sekiranya skuad negeri terpaksa bersaing di Liga Perdana.

Perkara ini pernah terjadi pada musim lalu bila skuad Pulau Pinang hampir terjerumus ke Liga Perdana pada musim lalu namun diselamatkan kemenangan pada hari terakhir perlawanan menentang Terengganu.

Walaupun tiada kata putus daripada kerajaan negeri dalam soal ini terutama melalui Presiden FAP, Zairil Khir Johari, segalanya berkemungkinan memandangkan prestasi hambar dipamerkan oleh skuad Pulau Pinang sepanjang musim ini.

Sebagai rekod, Pulau Pinang kini menduduki tangga tercorot Liga Super dengan 12 mata, dipisahkan tiga mata untuk keluar dari Zon penyingkiran.

Malah skuad kendalian Zainal Abidin Hassan berdepan tugas sukar dalam empat perlawanan terakhir iaitu dua perlawanan di tempat lawan menentang Sarawak dan Perak dan dua lagi aksi di laman sendiri iaitu melawan T-Team dan Selangor.

Aksi menentang skuad Bujang Senang merupakan antara paling getir memandangkan kedua-dua pasukan berada di tangga tercorot liga dengan dipisahkan dua mata sahaja.

Peluang untuk terselamat masih ada walaupun nyawa-nyawa ikan dengan mengharapkan kemenangan baki empat perlawanan terakhir sambil mengharapkan Melaka United tewas atau seri sekurang-kurangnya satu perlawanan.

Artikel Berikut

Jun Hao Juara Remaja Asia

Artikel Lain