PETALING JAYA: Pasukan Selangor mengharapkan penyokong setianya memenuhi Stadium Perbandaran Selayang pada Sabtu. Pengendali skuad Gergasi Merah, P.Maniam berharap pertemuan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal memberi keputusan positif dalam saingan Liga Super ini. "Bertemu JDT bukan mudah. Saya yakin mereka akan turun dengan barisan pemain yang terbaik. Sudah pasti mereka tidak akan bagi jalan mudah untuk kami mencatat kemenangan. Sekurang-kurang kita mahu mengutip satu mata di Selayang esok (Sabtu). Penting bagi kami untuk memperbaiki kedudukan. "Kami telah layak ke suku akhir Piala Malaysia sebelum ini, dan saya mahu semua pemain mengekalkan rentak permainan di tempat sendiri. "Saya berharap penyokong Selangor dapat hadir ke stadium, sama-sama memberi sokongan kepada pasukan," ujarnya kepada mStar Online. Dalam pada itu, beberapa pemain utamanya kemungkinan tidak dapat beraksi pada perlawanan tersebut. "Rufino (Segovia) dan Raimi masih lagi cedera. Andik Vermansyah pula masih dalam perhatian. "Kita akan tengok situasi mereka pada sesi latihan petang ini. Manakala Amri Yahyah akan diturunkan selepas tidak dapat beraksi dua perlawanan sebelum ini," tambahnya. Selangor kini berada di tempat kelima liga dengan 27 mata selepas 18 perlawanan.