LIVERPOOL bersetuju melepaskan Philippe Coutinho ke Barcelona, sekali gus menafikan kehendak Jurgen Klopp yang berkeras mahu mengekalkan pemain Brazil itu di Anfield. Pihak pengurusan tertinggi The Reds dilaporkan bersetuju dengan bidaan bernilai sekitar 90 juta pound sterling dikemukakan Barca terhadap Coutinho. ESPN Brazil mendakwa Klopp sering kali mengingatkan Liverpool supaya tidak menjual Coutinho tetapi nampaknya pengendali Jerman itu seolah-olah dikhianati pihak pengurusan tertinggi kelab tersebut. Liverpool dipercayai telah mencapai kata sepakat dengan Barca pada Sabtu apabila kelibat Coutinho tidak kelihatan ketika beraksi menentang Atletico Bilbao di Dublin. Malah Coutinho telah memaklumkan kepada kelab itu bahawa dia mahu berhijrah ke kalab lain dan sudah bersetuju syarat perbadi bersama Barca. Pemergian Neymar ke Paris Saint-Germain (PSG) telah mempercepatkan rundingan antara Liverpool dan Barca selepas bidaan bernilai 75 juta pound sterling ditolak bulan lalu. Barca kini menyakinkan Coutinho bahawa dia akan menjadi pemain kelab Catalan itu dengan segera selepas rundingan terbaharu dengan pegawai Liverpool. Majlis mengumumkan Coutinho sebagai pemain Barca yang sah akan dilakukan dalam tempoh beberapa hari lagi. Liverpool turut mengenal pasti pemain West Ham, Manuel Lanzini sebagai pengganti Coutinho. Barca berharap perpindahan Coutinho dapat dimuktamadkan pada Rabu agar pemain berusia 25 tahun itu boleh diturunkan pada aksi pertama Piala Super Sepanyol menentang Real Madrid pada Ahad.