MANCHESTER United membuat bidaan bernilai 36 juta pound sterling terhadap pemain versatil Barcelona, Sergi Roberto yang turut menjadi buruan pengendali Chelsea, Antonio Conte. Jose Mourinho mahukan pemain yang boleh beraksi di bahagian tengah dan pertahanan, posisi yang sering diisi Roberto musim lalu. Namun Barca dilaporkan enggan melepaskan Roberto pada musim panas ini selepas menolak tawaran pertama United sebelum ini. Malah pemain berusia 25 tahun itu menegaskan dia gembira berada di Camp Nou walaupun kehadiran Nelson Semedo bakal mengehadkan penampilannya dalam skuad utama. Pada masa sama, Barca turut berminat untuk mendapatkan khidmat bekas Tottenham, Paulinho yang akan menjejaskan peluang Roberto untuk diturunkan lebih kerap. Susulan itu potensi Roberto mengisi bangku simpanan amat tinggi sekali gus memberi isyarat kepada United untuk menyambar khidmatnya sebelum jendela perpindahan pemain ditutup. Sama seperti Mourinho, Conte juga mahu memperkukuhkan benteng pertahanan Chelsea susulan penghijrahan Nemanja Matic ke Old Trafford.