suria

Taja Hotel Bajet Pun Ok - Tok Mo

PETALING JAYA: Kurang 11 hari sahaja lagi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan membuka tirainya dan debaran sudah mula dirasai dengan atlet negara kini berada dalam fasa persiapan terakhir mereka.

Tidak terkecuali tukang sorak negara, Mansor Abdul Khoni yang kini begitu teruja kerana terus diberikan kepercayaan untuk menyuntik semangat kontinjen negara sepanjang temasya dwi tahunan itu.

Walaupun tidak dapat menyembunyikan keterujaannya untuk menyokong pasukan negara, Mansor atau mesra disapa sebagai Tok Mo masih tercari-cari pihak yang sudi menaja penginapannya dan beberapa ahli Kelab Penyokong Sukan Malaysia (Famemas) sepanjang temasya itu berlangsung.

Menurut Tok Mo yang terkenal dengan jolokan Bomoh Sukan Malaysia, kumpulan sorak atlet negara tidak disediakan penginapan sepanjang penganjuran temasya itu.

Susulan itu, beliau dan kira-kira 50 ahli Famemas perlu berkumpul seawal pukul 8 pagi di KL Sentral setiap hari sebelum dibawa menaiki bas ke lokasi kejohanan bermula pada 19 Ogos nanti.

"Kami dimaklumkan tiada penginapan disediakan. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hanya menyediakan bas yang akan menunggu kami di KL Sentral. Jadi kami perlu keluar rumah awal pagi kerana perlu berada di sana pada pukul 8 pagi.

"Agak susah sedikit kerana kami perlu berulang-alik ke KL Sentral setiap hari. Untuk memudahkan pergerakan ahli Famemas, saya kini sedang mencari pihak yang bermurah hati untuk menaja penginapan kami. Tak dapat untuk semua, bilik untuk 10 orang ahli pun jadilah," katanya kepada mStar Online.

Jelas Tok Mo, beliau tidak meminta untuk diberikan penginapan yang mewah sebaliknya sudah memadai jika ada penginapan berhampiran KL Sentral bagi memudahkan pergerakan mereka menaiki bas ke setiap  lokasi kejohanan.

"Tok Mo tak kisah, janji ada bilik... hotel bajet pun ok. Bukan apa kami perlu keluar awal pagi dan balik pun tak tentu. Kalau dah dekat dengan KL Sentral senang sikit, sekurang-kurangnya pukul 7.30 pagi kami boleh berkumpul di sana," katanya.

Mengulas mengenai persediaan Famemas menjelang temasya itu, Tok Mo berkata tiada latihan khusus dan mereka hanya berbekalkan pengalaman bersorak untuk kontinjen negara di 18 buah negara sebelum ini.

"Pengalaman itu akan dijadikan panduan untuk kami naikkan semangat semua atlet. Jadi soal persiapan kami tak risau kerana kami dah tahu apa yang perlu dilakukan.

"Sebenarnya tak perlu buat latihanlah, segalanya dilakukan secara spontan. Kita cuma perlu hafal lagu sikit-sikit," katanya.

Tok Mo berkata beliau akan dibantu dengan kekuatan kira-kira 300 ahli sorak daripada kumpulan Famemas dan TM Malaysia sepanjang 12 hari penganjuran temasya penting itu.

"Seramai 50 ahli Famemas akan bergabung dengan kumpulan TM Malaysia. Jadi kami akan bahagikan ahli mengikut kejohanan. Insya-Allah kami akan beri sokongan untuk semua acara," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain