JURULATIH Manchester United, Jose Mourinho berkata usaha mereka untuk mendapatkan Gareth Bale sudah berakhir selepas penyerang Wales itu diturunkan dalam kesebelasan utama sebelum Real Madrid menang 2-1 ke atas United pada saingan Piala Super Eropah, awal pagi Rabu. Mourinho pada malam menjelang pertandingan melibatkan juara Liga Juara-Juara dan juara Liga Europa itu telah berkata bahawa dia akan bertarung dengan kelab lain untuk menandatangani Bale jika dia tidak memulakan permainan di Skopje dan dilihat tidak berada dalam skuad yang dirancang jurulatih Zinedine Zidane. "Jelas sekali kelab itu mahukan dia, pengurus mahukan dia dan dia juga mahukan kelab itu, jadi jelas ia sudah berakhir. "Malah sebelum dia mula bermain semua orang tahu dia akan kekal," kata Mourinho kepada BT Sport. Presiden Madrid, Florentino Perez juga menolak untuk menjual pemain yang dibawa ke Santiago Bernabeu pada tahun 2013 untuk mencatatkan bayaran rekod dunia sebanyak 85.5 juta pound. "Saya tidak boleh berfikir untuk menjualnya, dia pemain Real Madrid, dia penting buat kami dan dia adalah salah seorang yang terbaik di dunia," katanya kepada pemberita. Dalam perlawanan menentang United, Bale bermula bersama Karim Benzema tanpa Cristiano Ronaldo dan melakukan kerjasama dengan Isco Alarcon untuk menjaringkan gol kedua Madrid. "Saya tidak buat sebarang bacaan, walaupun ramai yang cuba beri pandangan. Saya menikmati apa yang ada dan bermain sekerap mungkin untuk memenangi trofi," tambah Bale, yang meraih pingat keenam Eropah bersama Madrid sejak berpindah dari Tottenham Hotspur. "Tentu saya gembira bila dapat menambah koleksi trofi. Ia adalah perlawanan yang sukar tetapi saya fikir kami bermain dengan baik dan menguasai permainan dengan baik. "Kami mahu terus menang dan dalam setiap perlawanan kami masih dahagakan kemenangan dan mempunyai keinginan untuk menang."- Eurosport