suria

KL2017: Malaysia Berpeluh Kutip Tiga Mata

Adam Nor Azlin meraikan jaringan kedua Malaysia bersama rakan sepasukan ketika menentang Brunei pada perlawanan bola sepak Kumpulan A Sukan SEA Ke 29 KL2017 di Stadium Shah Alam malam Isnin. fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Skuad Malaysia Bawah 22 Tahun (B22) terpaksa berhempas-pulas untuk mengutip tiga mata dalam aksi pertama Kumpulan A Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) apabila menang tipis 2-1 ke atas Brunei pada Isnin.

Tampil dengan jersi serba putih, skuad Harimau Malaya bermula garang apabila menjaringkan gol seawal minit keempat menerusi Muhammad Safawi Rasid.

Gol terhasil menerusi gerakan cantik pemain sayap kelahiran Australia, Matthew Thomas Davies yang melakukan hantaran lintang tepat kepada Safawi di bahagian kanan gol lawan.

Safawi ternyata tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila melakukan tendangan voli untuk menewaskan penjaga gol Brunei, Haime Anak Nyaring.

Bagaimanapun ribuan penyokong setia Malaysia yang membanjiri Stadium Shah Alam terdiam seketika apabila gawang Harimau Malaya dibolosi minit ke-11.

Penyerang Brunei, Mohamed Zulkhairy Hady Razali menjaringkan gol penyamaan menerusi serangan balas yang menyaksikan barisan pertahanan Malaysia gagal melakukan perangkap ofsaid ke atas pemain jersi 16 itu.

Tersentak dengan gol penyamaan itu, Malaysia mula mengatur serangan demi serangan untuk menambah gol tetapi ketumpulan barisan hadapan ternyata perlu diberi perhatian oleh jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

Safawi menanduk masuk gol pertama untuk negara.

Peluang terbaik dimiliki anak buah Kim Swee untuk kembali mendahului perlawanan hadir pada minit ke-44 menerusi sepakan percuma dari jarak 25 meter tetapi tendangan Safawi sekadar singgah di palang gol walaupun Haimie sudah tertewas.

Babak kedua menyaksikan Malaysia menggandakan asakan dan hampir mendahului pada minit ke-47 tetapi ketumpulan bahagian serangan sekali lagi mengecewakan kira-kira 8,000 penyokong setia skuad kebangsaan.

Safawi hampir mengulangi gol voli pada minit ke-57 tetapi percubaannya ditepis oleh Haimie.

Namun kekebalan benteng pertahanan Brunei tidak bertahan lama apabila penyerang Malaysia, Adam Nor Azlin berjaya merobek gawang Haimie menerusi tandukan kencang pada minit ke-60.

Safawi memainkan watak penting apabila melakukan hantaran lintang tepat kepada Adam.

Rekod pertemuan Sukan SEA sejak 1977, Malaysia tidak pernah tewas dalam enam pertemuan.

Kali terakhir pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam perlawanan kompetitif adalah 2 September 2001 yang menyaksikan Malaysia menang besar 5-0.

Malaysia kini menduduki tangga kedua Kumpulan A berkongsi mata dengan Myanmar yang memiliki kelebihan perbezaan gol.

Turut menghuni kumpulan sama adalah Singapura dan Laos.

Terdahulu, naib juara Sukan SEA edisi 2015, Myanmar tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga mata apabila menewaskan Singapura dengan keputusan 2-0.

Malaysia akan berdepan Singapura pada perlawanan kedua Kumpulan A pada 16 Ogos ini di Stadium Shah Alam.

Sukan SEA KL2017

Artikel Sebelum

B22 Perlu Lebih Tajam!

Artikel Berikut

Artikel Lain