BOS Arsenal, Arsene Wenger akhirnya membuka mulut untuk menjawab masa depan dua bintangnya, Alex Oxlade-Chamberlain dan Alexis Sanchez yang dikhabarkan akan meninggalkan juara Piala FA itu. Wenger menegaskan bahawa Chamberlain tidak akan dijual ke Chelsea kerana bimbang pemain berusia 24 tahun itu akan memberi masalah kepada mereka. Malah Wenger berkata, Chamberlain mempunyai potensi besar untuk menjadi antara pemain terbaik England dalam tempoh dua tahun lagi. Chelsea dikhabarkan mahu menandatangi pemain England itu yang berbaki kontrak setahun lagi dan enggan menandatangani kontrak baharu. Bos Chelsea, Antonio Conte sedia membuat bidaan baharu bernilai 35 juta pound sterling tetapi Wenger sedia menolak sebarang tawaran walapun akan kehilangan khidmat Chamberlain secara percuma pada musim depan. Wenger turut mengambil pendirian sama terhadap Sanchez yang dilaporkan masih kurang cergas untuk beraksi berdepan Stoke City pada Sabtu ini walaupun sudah mula menjalani latihan. Pengendali kelahiran Perancis itu mengakui dia tidak meletakkan harapan bahawa Sanchez akan menandatangani kontrak baharu dan kekal di Emirates tetapi menegaskan tidak akan menjual pemain kelahiran Chile tersebut pada musim ini. Sanchez menjadi buruan Manchester City dan Chelsea selepas pemain berusia 28 tahun itu menyatakan hasrat untuk berhijrah ke kelab lain yang bersaing di kejohanan Liga Juara-Juara. - Mirror.uk