REAL MADRID menjulang trofi Piala Super Sepanyol buat kali ke-10 selepas menundukkan Barcelona 2-0 di Santiago Bernabeu, awal pagi Khamis. Pasukan tuan rumah menang dengan agregat 5-1. Marco Asensio meletakkan Real di depan menerusi percubaan dari jarak 30 meter seawal minit keempat. Real terus mendominasi perlawanan apabila Karim Benzema meledak masuk gol kemenangan pada minit ke-39. Barcelona cuba merapatkan jurang gol tetapi percubaan Lionel Messi dan Luis Suarez sedikit tersasar. Dalam perlawanan itu, Cristiano Ronaldo tidak diturunkan manakala Gareth Bale duduk di bangku simpanan. Ronaldo duduk di ruang privasi khas. Ronaldo digantung lima perlawanan selepas menolak pengadil manakala Bale sekadar memanaskan bangku simpanan bagi memberi peluang kepada Asensio untuk beraksi. Pemain kelahiran Portugal itu, Ronaldo sekadar menyaksikan perlawanan itu dengan duduk di ruang privasinya di dalam Santiago Bernabeu. Meskipun ketiadaan dua tonggak utama ini, Real Madrid tidak berdepan sebarang masalah untuk menjinakkan Barca. Sebaliknya, Barca perlu mencari pemain alternatif untuk memperkukuhkan pasukan The Catalan itu sebelum jendela perpindahan pemain ditutup. Ini bermakna, mereka perlu memuktamadkan pemain dalam radar iaitu, Philippe Coutinho dan Ousmane Dembele secepat mungkin.